UCAPAN DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM
DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
KEMENTERIAN PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
PADA 29 JUN 2010 DI ISTANA BUDAYA
________________________________________________________________________________________________________
Pengacara Majlis, Yang Berhormat Dato’ Joseph Salang, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Yang Berbahagia Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Istana Budaya Encik Mohamad Johari dan staf di IB. Pertama tentu sekali bagi pihak diri saya dan isteri, Datin Seri Masnah serta perkhidmatan kita masing-masing. Di samping itu juga rangkapkan oleh saya;
Dari sana hendak ke sini
Dari mana hendak ke mana
Kesemua kita berasa ceria pagi ini
Lantaran semua dicapai telah berada.
Genggaman hidup. Genggaman bagi menyempurnakan perkhidmatan masing-masing. Amat mudah bagi kita menyatakan bahawa sekian ramai kita menerima Khidmatan Cemerlang pada kali ini. Perjuangan ini adalah perjuangan kita dan terbina oleh ibu bapa serta generasi kita yang terdahulu. Wujudnya Istana Budaya ini pun perjuangan khidmat para pegawai kita, dengan para pemimpin kita. Dengan beradanya kita di bawah suasana yang cemerlang pada hari ini, satu demi satu sejarah telah kita tempa, satu demi satu hakikat telah kita suai. Dalam perjuangan sedemikianlah saudara-saudari yang masih berkhidmat akan berjuang, menyumbang dan melibatkan diri dalam pelbagai pencapaian dalam jabatan masing-masing, dalam kementerian masing-masing. Kalau diibaratkan seperti kita ini adalah dalam sawah atau dalam lopak-lopak. Lain lopaknya, lain sawahnya. Lain ruangnya, lain isinya. Pada pagi ini kita berada di bawah kementerian yang bertanggungjawab mengenai penerangan, komunikasi atau perhubungan serta kebudayaan.
Lantaran malam tadi, kita baru bersama-sama dengan sekian ramai pula rakan-rakan kita yang telah menjangkau umurnya kepada 58 tahun dan menjangkau usia masing-masing untuk bersara. Kita bertemu di Dewan FELDA dan di sana juga kita menyatakan malam tadi, malam kelmarin betapa terhutang budinya kita kepada setiap warga yang berkhidmat untuk Negara kita. Memang tidak ada khidmat yang percuma walaupun saya selalu memantunkan seperti berikut;
Terang bulan di Malaya
Kilatnya sampai ke Kampung Tanjung
Berkhidmat tidak minta dibayar
Berjuang tidak minta disanjung.
Tetapi dalam hari ini kita tidak boleh lagi bekerja tanpa bayaran. Mesti ada uftinya. Mesti ada bunga emasnya. Mesti ada pengerasnya. Orang Negeri Sembilan kata “Pengoreh”. Dalam keadaan sebegitulah kita terima gaji kita, kita terima emolumen kita. Menteri pun bertugas ada emolumennya. Timbalan Menteri pun sedemikian. K.S.U kita, T.K.S.U kita, K.P-K.P kita, S.U.B-S.U.B kita. Masing-masing ada lopak, masing-masing ada ruang, masing-masing ada tempat, masing-masing ada berjuang. Hal inilah yang pagi ini sampai kita ke kemuncak perkhidmatan kita.
Tentu sekali saya ingin menyatakan bahawa bangga kita, saudara-saudari telah menyumbang menerusi jabatan masing-masing. Bangga kita lantaran khidmat cemerlang saudara-saudari terima pada pagi ini. Tetapi lebih dari itu, tentu sekali seseorang yang sudah mencapai tahap perkhidmatan cemerlang seperti itu, yang sukar ialah untuk menyenggara tahap pencapaian itu atau to mantain the attainment. Ini bukan senang, ini sukar.
Dalam hidup kita sentiasa dilumbai orang, dalam pertaruhan kita dilumbai, dalam berkhidmat kita dilumbai dan dalam mencapai sesuatu, kita juga dilumbai. Kadangkala kita berasa bahawa keadaan dalam perkhidmatan kita itu statis atau pun tidak perlu lagi kita tokok, ini adalah pendirian yang tidak positif. Hari ini lebih baik dari semalam, besok lebih baik pada hari ini, bulan depan tentu lebih cemerlang dan tahun depan lebih baik pada bulan ini. Ini mesti kita taruh dalam diri kita. Setiap kali kita menerima ufti, upahan dan juga ganjaran dari kerajaan kita ada ertinya, iaitu erti unjuk beri. Kerajaan kita memberi, kita mengunjuk kepada kerajaan kita.
Kerajaan itu bererti kerja kita dan raja kita, cantumannya berbunyi ‘kerajaan’ tetapi erti universalnya ialah sistem pemerintahan kita ini. Barang siapa menjadi Perdana Menteri, barang siapa menjadi Yang Di-Pertuan Agong, itulah tuan kita. Tetapi dalam pada itu sistem dalam hidup kita berkhidmat mesti diperbaiki hari demi hari. Bolehlah saya katakan hari ini kita mencari pegawai-pegawai yang kita tinggi nisbah perolehannya dan kita boleh katakan;
Kalau mencari Bukit Dawai
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari para pegawai
Pertama elok kedua pandai.
Kita semua cari orang yang elok, kita semua cari pemimpin yang elok, kita semua cari mereka yang membantu kita, orang yang pandai. Cantuman antara yang elok dan pandai ini adalah pesaka bangsa kita. Semenjak Hang Tuah, semenjak Sultan Mansur, semenjak Alauddin Syah, semenjak Mahmud mangkat dijulang, semua ini adalah tertera kepada bangsa Melayu dan bumiputera. Dari Bukit Siguntang membawa kepada Sabah dan Sarawak, ada sejarah kita mencari pegawai yang elok dan pandai. Di pagi ini yang elok dan pandailah yang kita beri suntingan dan perkhidmatan semangat tersebut.
Saudara dan saudari,
Air yang dari hulu sudah pun ke hilir, apa yang telah diberitahu sudah pun terfikir, tak payah saya tokok, mungkin tak payah saya tambah lagi sebab ibarat satu peti pakaian yang boleh saya masukkan sekarang hanyalah sehelai sapu tangan. Tidak satu seluar jeans yang tebal dan bukan satu kot yang tebal juga. Hanya sehelai sapu tangan. P. Ramlee berkata, berilah helaian kain buruk untuk mengusap si air mata, usaplah air mata sedih kita, sedih atas ketidakadilan, sedih atas ketinggalan tetapi sapu tangan ini kita jadikan membersihkan mata kita supaya terang perkara di depan, boleh kita sahut perjuangan 1Malaysia.
Saudara-saudari,
Kita tidak dapat lari dari 1Malaysia. Kiri kanan ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Kadazan, ada Murut, ada Iban, ada warga emas, ada Orang Asli, ada natives of Sabah and Sarawak. Kita hidup di bawah satu payung. Justeru mari kita jayakan 1Malaysia ini. Kita utamakan rakyat kita, kita utamakan pencapaian kita dan kita hulurkan tangan muhibah. Walaupun seperti ayat dalam Surah Yasin ‘wasaaunalaihim aan zartahum amlamtun zirr hum la yu’minunn’ ada, tetapi kita mesti percaya, walaupun ayat itu berkata, sama sahaja mereka itu, sama ada diberitahu atau tidak diberitahu, mereka tidak akan percaya. Dalam segantang berasnya ada antahnya, tidak semua jadi beras, antah sedikit mesti ada, tetapi antah yang sedikit itulah, saya pohon para pegawai kita, bangkitlah kamu berjuang bersama-sama, jayakan 1Malaysia demi negara yang dicintai.
Pesanan ini orang mungkin kata ‘..ahh senang cakap tu’, tapi kita mesti fikir yang berada di depan saya ini dan di sampingan saya ini, adalah rakyat Malaysia yang beristeri, yang bersuami, yang mempunyai anak pinak, yang nanti akan mempunyai cucu dan cicit dan juga oneng-oneng, antah-antah, siapa-siapa, dulu-dulu, duli dan tiu yang lain. Hal inilah yang kita fikirkan generasi kita mesti kita garap bersama. Cemerlangnya saudara saudari sebagai pegawai tadi adalah memberi semangat imbuhan kepada kami yang di pentas ini. Oleh kerana kita menyatakan;
Jangan tampil ke Pekan Rawang
Tampillah kepada Inderagiri
Jangan ambil yang hak orang
Ambil sahaja yang hak sendiri.
Hak kita, hak kita, apa yang hak kita? Hak kita ialah yang ada dalam Perlembagaan. Hak kita ialah Perkara 8, Equality before the law, persamaan, kesaksamaan di hadapan undang-undang. Apa yang hak kita? Hak kita bersuara, di Perkara 10 Perlembagaan kita. Apa lagi? Bahasa Melayu, Perkara 153, Perkara yang berkaitan dengan the legitimate interest of other communities yang ada di bawah Perkara 153 itu. Ini kita perjuangkan bersama. Banyak lagi, tapi bukanlah ruang, bukanlah lopak bagi saya pagi ini untuk berkata sedemikian.
Hadirin, tahniah kepada Ketua Setiausaha, Dato’ Wira Kamarudin dan rakan-rakan di atas penyusunan majlis yang hebat pada pagi ini dan tahniah kepada saudara saudari.
Kerakap di tepi permatang
Permatang ada di sana
Bercakap jangan panjang-panjang
Bertandang jangan lama.
Jadi, saya fikir pagi ini cakap pun dah panjang dah tu, dan bertandang tak lama. Jadi dalam suasana pendek inilah, tahniah sekali, semoga 1Malaysia berjaya. Saya pohon bila saya kata ‘satu’, saya pohon hulurkanlah jari telunjukmu dan sahutlah dengan ‘Malaysia’. ‘Satu…’ .... MALAYSIA!
Terima kasih. Tak banyak. Orang ada buat tiga kali, kita sekali jadilah. Tahniah semua.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.







Hit : 32033














