UCAPAN SEPETANG BERSAMA
YANG BERHORMAT DATO’ SERI UTAMA DR RAIS YATIM
MENTERI PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
DI DEWAN BESTARI JABATAN PENERANGAN
PADA 15 JANUARI 2010
________________________________________________________________________________________________________
Bismillahirrahmannirrahim, Assalamualaikum Warrahmatullahitaala Wabarakatuh, Salam 1Malaysia dan selamat kita menunaikan fardu Jumaat sebentar tadi, kita bertemu pada tengah hari.
Yang Berhormat Saudari Timbalan Menteri, Senator Heng Seai Kei dan rakan-rakan yang datang dari jauh, Dato’ Abdullah Morad, selaku Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, khusus Dato’ TKSU, Dato’ Azmi, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, Pengarah-pengarah Negeri dan pegawai-pegawai tinggi Jabatan Penerangan Malaysia.
Oleh kerana pada petang ini kita kesuntukan masa, maka saya cuba, seperti yang dicuba oleh Jabatan Penerangan untuk merentas desa tapi petang ini saya cuba untuk merentas masa. Pertama ialah mengucapkan terima kasih bagi pihak Timbalan dan saya sendiri kepada Jabatan. Sempat kita bertemu pada petang dan tengah hari ini. Sebenarnya saya awalnya mencadang supaya kita berjumpa di Angkasapuri, sebab bunyi Angkasapuri itu sedap. Tetapi bilah telah diimbang kembali bunyi Sime Darby pun sedap, jadi kami memutuskan supaya berbelok kembali dan hadir di mesyuarat ini.
Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Media iaitu di sini, saudara-saudari telah siap sedia, sudah diadakan pelbagai susunan dan suasananya pun demikian. Oleh itu, kita bersama-sama mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada KP, Timbalan KP dan semua yang telah mengambil bahagian untuk mengisi mesyuarat kita, menjadi satu mesyuarat yang bernas, substantif dan di mengertikan bersama.
Seperti kita bertemu dahulu, seseorang Menteri Penerangan itu kadangkala mempunyai pelbagai dilema. Sebagai Menteri Penerangan, sebagai Menteri Komunikasi apatah lagi dan juga sebagai Menteri Kebudayaan. Oleh kerana kita, khususnya saya dan rakan-rakan Timbalan Menteri terpaksa mengadunkan ketiga-tiga ini dalam satu rangkaian tali tiga sepilin dan tungku tiga sejarangan, maka tidak mudah sebenarnya, untuk menetapkan misi dan visi itu dalam satu gagasan yang mudah diamalkan oleh semua.
Saya beri contoh. Pertama ialah contoh visi dan misi Jabatan Penerangan. Bagaimana RTM misalnya, memahami misi dan visi kita? Bagaimana pula Jabatan Komunikasi memahami kita? Dan seterusnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Soalan seperti ini bukan mudah. Justeru, saya sesungguhnya cuba menyimpulkan perkara-perkara ini supaya kita sebagai penjawat awam dapat memahaminya.
Istilah penjawat awam ini saya tidak begitu setuju. Sebab dia menjawat saja. Yang saya lebih setuju ialah pengkhidmat awam. Kita berkhidmat. Jadi antara penjawat dan khidmat, tentulah istilah kedua-dua ini kita maklum dan kita faham. Untuk itu kita berkhidmatlah. Kita berkhidmat untuk negara, bangsa dan agama, kita berkhidmat untuk Malaysia. Dan dalam semua yang saya lihat tadi, terutama berhubung dengan matlamat kita, cabaran. Cabaran yang disebut di sini, krisis dalaman parti komponen, sistem penyampaian perkhidmatan yang tidak cekap dan berkesan, isu peningkatan harga barang, isu berkaitan naik harga minyak petrol, isu pemberian wang ihsan, isu GST. Ini cabaran.
Kalau saya hari ini, saya nak pinda ini sedikit. Mengatakan cabaran pertama, bagaimana menjayakan gagasan 1Malaysia. On top, atas sekali. Kemudian baru bawah. Kalau tidak begitu, perjuangan kita menegakkan, menerangkan dan menghayati 1Malaysia, tentu tidak tampak jelas pada kita. Jadi sebagai Menteri Penerangan saya terpaksa bercakap begini, jelas dan kita mesti terjemahkan. Jadi terjemahannya, menerangkan 1Malaysia seboleh mungkin di seluruh daerah di tanah air. Menggunakan kepakaran kita dalam ilmu komunikasi, dalam ilmu agama, dalam perjuangan budaya. Ketiga-tiga itu kita pakai.
Jadi sesuai seperti KP sebutkan tadi, mana yang boleh kita asuh, kita asuh, dan kita asah, kita asah. Inilah masanya kita menggalas, kalau parang, dan inilah masanya kita menajamkan sekiranya pedang. Untuk kita meyakinkan rakyat dalam kekangan ekonomi yang ada pada hari ini. Saya sebut kekangan ekonomi sebab sekarang duit tak banyak. Kita terpaksa berjimat-jimat. Tidak semasa zaman-zaman yang terdahulu, di mana agak mudah bagi Menteri memohon wang dari kabinet, sekarang tidak lagi semudah seperti dulu. Justeru, kita mesti landaskan kerja-kerja kita dalam keadaan kekangan yang saya sebutkan sebentar tadi.
Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
Jabatan Penerangan, jabatan tertua, dulu saya katakan. Entah mana tuanya jabatan ini daripada Jabatan Kemuflisan di negara. Tapi saya lihat, Jabatan Penerangan lebih lama. Dan jabatan ini adalah sama lamanya kalau di banding dengan The Public Trustee Department. Tapi kelamaan itu sekarang harus kita dakap dengan cabaran 1Malaysia tadi.
Pada hemat saya, 1Malaysia, setelah kita terangkan 8 bulan, berada di tahap lebih sedikit 60 peratus. Ramai orang berkata faham, tetapi ramai pula yang mengatakan apa isinya dalam itu. Faham itu kepada mereka pada landasan pertama, mendengar 1Malaysia itu dilaungkan, mendengar tentang 1Malaysia itu sebagai satu landasan perpaduan, tetapi lebih daripada itu mereka kurang faham. Jadi di atas kurang faham itulah saya letakkan tadi, cabaran supaya seramai mungkin orang memahami 1Malaysia tadi. Sama ada 1Malaysia katanya itu, perpaduan bangsa atau hanya perpaduan kaum, atau mencapai sesuatu dengan satu derap jalan, dengan satu dayung perahu, ini kita haruskan jelaskan kepada mereka.
Oleh sebab buku kecil sudah ada, marilah kita telaah buku itu. Dan di mana saja saya boleh, saya pun main peranan menggunakan pelbagai perkara dan acara. Tetapi pendekatan am yang saya nak anjurkan ialah 1Malaysia itu adalah kepentingan setiap insan. Negarawan dan bukan negarawan, citizen atau pun warganegara untuk Malaysia masa depan. Itu boleh kita juruskan, kemudian kita isi dengan seboleh mungkin.
Kita misalnya, bagi Pegawai-pegawai Penerangan, kalaulah yang ada di sini nak pergi ke Kampung Cina, tak laku. Sebab saudara-saudari macam saya, “mim lam alif ya wau”, orang Melayu. Kita nak tanya “ni hau ma” pun tak boleh. Jadi kita terpaksa cari penceramah-penceramah bukan Melayu dalam kawasan orang Cina. Minum kopi dengan dia. Dan mereka akan beri maklumat kepada kita. Kalau kita yang pergi ke kampung baru orang Cina, “tak palah, luluk lah lulu”. Dia orang tak faham. Di situ handicapped kita.
Jadi saya akan cuba menyampaikan hal ini kepada Kerajaan kita, sekiranya 1Malaysia nak difahami maka orang Cina mesti ditembusi kefahaman mereka. Ini cabaran besar, sebab itu 1Malaysia itu saya letak di atas. Tapi kalau kita nak main olok-olok tak apa, semua orang faham. Tempoh hari kita hantar SMS, 5.3 juta, pulang balik lebih kurang 60 peratus faham. Saya tak puas hati dengan itu sebab saya tahu bahawa masyarakat Tionghoa belum dapat kita tembusi. Ini cabaran bagi kita. Jadi Dato’ Abdullah dan rakan-rakan mesti balik kepada saya dan mengesyorkan supaya misalnya, Senator Seai Kei dapat memberitahu saya balik apa yang harus kita lakukan di kampung-kampung baru dan di kampung-kampung pekan orang Tionghoa.
Kedua, ialah mengenai tahun baru kita. Kita masih pada minggu kedua tahun baru, jadi azam kita ini adalah baru dan kita mesti ambil ini sebagai cabaran kita untuk survival jabatan kita dan kredibiliti kita sendiri. Kita perlu dalam tempoh sesingkat mungkin, mengubah sikap kita, kaedah kerja kita dan menyesuaikan matlamat perjuangan kita ini. Barangkali rakan-rakan saya yang dulu, Menteri-Menteri Penerangan dulu pun sudah sebut hal macam ini. Tetapi saya percaya cabaran yang dahulu bukan macam sekarang. Masa dulu tidak ada media pilihan atau pun media baru. Sekarang sudah ada media baru. Masa saya menjadi Menteri Penerangan dulu, tak ada komputer, sekarang sudah komputer. Sekarang orang ada telefon 28 juta, dulu hanya 7,200. Saudara-saudari, menakutkan perubahan ini. Jadi mana di kalangan kita yang rasa tak mampu, tolong beritahu supaya kita ubah suai cara kerja kita dan menyusul kembali keutamaan yang sempat kita sebutkan.
Ketiga, ialah menjayakan program-program yang saya sebutkan selain yang telah diberi oleh Dato’ Abdullah sebentar tadi. Ini beliau sebut cabaran, cabaran, cabaran, cabaran. Tapi yang tak cukup kita sebut, bagaimana mengatasi, bagaimana mengatasi, bagaimana mengatasi. Saya pun boleh sebut cabaran di Jelebu, beberapa masalah dan isu. Tapi saya sendiri mesti mengatakan, ini cara dia, ini kaedah dia, ini cadangan kita, ini perjuangan kita.
Saudara-saudari,
Elok benar ubi orang sini
Belum tegak sudah disukat
Elok benar budi orang sini
Belum diminta sudah dapat.
Terima kasih, orang Penerangan.
Jadi dengan itu, kita mestilah menganggap satu gagasan Malaysia tadi sebagai kail sebentuk umpan seekor. Inilah pancing kita, inilah umpan kita. Macam mana kita harus jayakan ini, bukanlah mudah. Kita ramai, jadi kita ada idea. Kita pergi ke universiti, kita pergi menelaah. kita cari rakan-rakan di RTM. Bagaimana kita menggunakan video kamera dan juga unjuran-unjuran lain.
Memang kalau nak dikatakan, susah benarlah bekerja sekarang ini. Kalau saudara cakap begitu, saya lagi susah. Kalau saya nak katakan tiap minggu kadangkala saya kena tekeh di kabinet, ‘Huh, amacam”, “RTM amacam”?, “Penerangan amacam?”. Haa.. tapi saya tak ada menggelegak. Saya kata balik. Apa saya kata balik tak harus saya lapor di sinilah. Tapi dalam cara berinteraksi itu, saya tetap mempertahankan jabatan-jabatan kita. Saya tetap menyatakan bahawa selama ni, inilah si buruk inilah yang menjayakan perjuangan dan kemajuan kita. Sekarang kalau di perkecilkan boleh, tetapi kita harus cuba balik. Dan sekiranya dikritik di kawasan YANG BERHORMAT itu, kita nak tanya balik, YANG BERHORMAT buat apa? Jadi hujah begitu kadangkala menumpulkan sengat mereka, tetapi dalam hati saya pun terasa juga. Bahaya juga apa yang dia komen itu. Jadi itulah yang saya bawa untuk kita memperbaiki keadaan kita.
Sekiranya orang India, carilah orang India yang boleh dan baik menyampaikan maklumat dan perjuangan. Tapi masalah yang timbul ialah, cakap saja tak cukup. Katalah kita memberi penerangan begitu begini. Jadi kalau Komuniti Bestari yang nak dibuat rasanya, dan juga dengan program merakyatkan seni serta program-program lain yang Dato’ Lah sebut tadi termasuk Komuniti Bestari, termasuk merakyatkan seni, gotong-royong dan lain-lain, kita mesti sekalikan dengan kementerian-kementerian lain, supaya boleh kita bawa ke kampung itu, atau ke masyarakat itu sedikit buah tangan.
Kalau kita memberi penerangan di kampung Solok jauh ke dalam. Mungkin sebelum itu kita merancang dulu dengan jabatan-jabatan kita yang ada. Apa boleh kita bawa? Bolehkah SKMM bawa sikit bekalan komputer, misalnya? Saya boleh urus. Bolehkah kita bawa sedikit bahan-bahan yang berkaitan dengan kebudayaan? Kita boleh urus. Jadi, sekiranya jabatan nak buat projek di mana wakil rakyat kita turut sama, tolong kita buat strateginya, supaya tak banyak, sikit bak kata orang, ada peninggalan kita, setelah kita berhempas pulas menyampaikan ceramah pada petang, malam dan sebagainya.
Untuk gotong-royong pun begitu dan untuk kita menyemaikan seni budaya, pun begitu. Oleh sebab famili kita sudah tiga dalam satu rangkaian, mudah sedikit kita merancang. Jadi program-program induk harus kita sama-sama hurai, sama-sama saham dan kongsi bersama. Jika Timbalan Menteri harus pergi, beliau pun akan pergi. Umumkan sedikit peruntukan atau beri sedikit buah tangan pada masyarakat yang menerima ceramah besar kita tadi. Saya sebut ceramah besarlah. Tapi kalau semua yang 1097 ni tak terberilah oleh kita. Satu daerah mungkin. Kita kumpulkan. Baiklah pada hari ini, satu majlis besar, Yang Berhormat Ahli Parlimennya dijemput atau ADUNnya dijemput. Sedikit sebanyak kita bantu menerusi komunikasi. Ini boleh kita buat tetapi perancangan dari sini mestilah disusun awal-awal.
Yang keempat, mengenai penerangan kita di daerah. Saya sudah sebut dahulu, cubalah. Pejabat kita di daerah mesti menjadi tempat menarik, dan bersih dan orang suka datang. Tolong buat balik apa yang seharusnya kita buat, supaya menjelmakan kembali jabatan kita di daerah supaya ramai balik orang datang membaca akhbar bersama-sama di situ. Dan kita adakan telaah, kelas-kelas yang boleh menjadi bimbingan atau pun lain-lain kaedah yang boleh kita buat. Mungkin kita harus bawa juga foto-foto yang menarik untuk di dinding dan juga dipamerkan kepada masyarakat kembali supaya 1Malaysia tadi berjaya kita anjurkan bersama.
Tentang tugas, jadual kita mestilah wujud iaitu jadual yang penting-penting, yang berkaitan dengan semua cabaran-cabaran yang kita sebutkan tadi. Tapi ada cabaran ini, saya tahu saudara-saudari tak boleh jawab. GST. Saudara-saudara nak jawab macam mana? Sebab benda ni belum di hurai lagi. Sekarang orang mula dah kritik. Dia kata “ohh, satu lagi cukai”. Sebenarnya GST ni lebih baik daripada cukai business atau cukai perniagaan sekarang, atau pun cukai jual yang ada sekarang, atau pun service tax, cukai khidmat yang ada sekarang. Dia lebih rendah daripada itu. Cuma huraian dia tidak baik. Dan saya akan menganjurkan supaya RTM membuat satu penerangan yang jelas dengan memanggil pihak di EPU atau pun di Unit Perancangan Ekonomi untuk menghuraikan kepada kita. Dan dengan itu cukup dengan grafnya, perbandingannya dengan cukai perkhidmatan, perbandingannya dengan cukai jualan, ini lebih baik. Sebab tidak akan mengenakan masyarakat di kampung.
Pembangkang sekarang kata, “Aaa…habislah orang kampung ni, parahlah, tinggal lagi hanyalah sehelai sepinggang dengan GST”. Sebenarnya orang kampung tak kena. Jadi ini contoh ye, bagaimana sesuatu dasar itu bulat-bulat boleh yang bulat tadi jadi pipih, dibuat oleh orang. Inilah tanggungjawab kita, jadi mari kita kumpulkan semua butiran bernas GST ini. Di kalangan kita ada seorang berdua, expert dalam soal ini. Setelah membacanya, setelah menajamkan pemikiran kita, kemudian GST, seorang berdua di kalangan kita di sini, boleh menguasai dengan baik. Oleh sebab undang-undangnya pun sudah siap, mari kita cari satu kemampuan kita. Dan kita ajak sekali RTM, Dato’ Azmi boleh ambilkan notanya, dan kita akan sajikan beberapa olahan penerangan yang jelas dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Cina, dalam bahasa India. Dan target kita ialah contoh-contoh misalnya besok, beras, adakah kena GST? Tidak. Tepung, kena ke? Tidak. Jadi dengan itu masyarakat terasa, ini untuk orang yang pertengahan dan pendapatannya mengikut selera konsumerisme. Misalnya, kalau saya gaji RM5,600, saya beli barang, saya kena atas kemampuan saya. Saya beli satu kamera yang sekarang ini tidak ada cukai, tapi GST pada masa itu, kena. Sebab kita hendak, kita bayarlah cukai. Kalau kita tak beli, tak kenalah cukai. Kalau beli kain sutera, tentulah cukainya tinggi tetapi kalau beli kain kapas biasa, cukainya kurang. Itu pun bergantung kepada apa yang kita beli. Tapi lagi orang kampung tidak dikenakan dalam hal-hal sabit dengan harga atau the tear price setiap komoditi atau barangan. Ini contoh sahaja saya beri dan isu ihsan. Tengku Razaleigh pun dengar nak beri ceramah besar di sana. Jadi kita harus di Kelantan, tengok apalah yang beliau hendak sebut tentang wang ihsan, wang petroleum dan sebagainya.
Lunas yang pertama, lunas undang-undang. Tapi tak ada pun orang sebut. Lunas undang-undangnya misalnya, ya, kalau di Kelantan, pada 3 batu nautika pertama, itu hak negeri. Kalau lebih 3 batu nautika, itu hak persekutuan. Tapi kalau diberi wang pada Terengganu, macam mana? Itu pemberian. Jadi kalau pemberian, di berilah Kelantan. Mengikut apa bernisbah dengan Terengganu, dan juga mengikut apa yang dituntut, sekiranya bertepatan dengan prinsip kewangan negara. Itu harus kita jelaskan satu kali mengikut apa yang terlandaskan dalam undang-undang, tapi bukan terlandaskan kepada sentimen politik masing-masing.
Saya pergi saudara-saudari kepada projek keupayaan kita, KPI masing-masing. KP ada KPI dia, jadi kita akan landaskan KPI pegawai-pegawai di negeri terhadap projek penerangan tentang data kejayaan. Kita bawa kembali. Dan keupayaan memberi penerangan yang difahami oleh masyarakat tentang 1Malaysia, tentu sekali itu menjadi satu ukuran yang objektif dan dapat kita gunakan. Saya ingin membawa jabatan ini kepada semua program yang menyerlahkan sumbangan kita. Yang orang boleh faham dengan kita, yang orang lebih simpati dengan Jabatan Penerangan. Dan sekali-kali kita tidak lagi mahu disebut oleh orang, kita hanya dijemput bila orang ramai nak pakai mikrofon. Saya tidak mahu dengar ini lagi. Malah kita akan beritahu wakil rakyat kita, kalau setakat nak pinjam mikrofon saja, tak usah sebut pun kita boleh bagi. Tapi saudara-saudari, jangan lagi orang mengatakan Jabatan Penerangan sekarang hanya untuk bagi pinjam mikrofon.
Sebab itu saya minta setiap kita mesti berkebolehan berceramah dan menyampaikan sesuatu kepada rakyat. Bangkit balik, jangan bagi orang menindas kita dengan kata-kata sebegini. Begitulah cara saya untuk mencuba supaya kita naik wee balik. Kalau main gasing adalah wee. Sekarang wee kita macam kilat-kilat gajah. Tak mahu begitu. Kita mesti ligat balik.
Penerbitan kita harus kita lihat semula. Dan apakah yang harus kita terbitkan. Kita muafakat dulu. Jangan terus kita terbit sahaja. Ini sudah saya komen tempoh hari pada Ketua Setiausaha (KSU). Saya kata semua penerbitan di kementerian ini kita buat strategi dulu. Kita tak boleh tiba-tiba, terbit saja. Kemudian tidak berhasil. Ini sudah pun di maklum oleh Ketua Pengarah.
Kerjasama dengan JASA, sudah saya sebut dahulu. Alhamdulillah baik. Tidak ada yang saya nak komen di sini. Dan jawatankuasa kita di negeri, Jawatankuasa Bersama juga harus kita perjuangkan supaya kita mempunyai aluran yang muhibah. Dan juga kerja-kerja kita yang tersusun.
Akhir sekali saya ingin menyentuh tentang Akta Perhubungan Awam. Jadi, sekiranya hal ini dapat kita kaitkan balik semasa saya menyampaikan sedikit ucapan di mesyuarat tempoh hari, maka bolehlah kita berusaha sekarang mewujudkan Akta Perhubungan Awam ini. Di mana sebahagian besar kita mungkin apabila telah bersara atau sebelum bersara, atau pun kini boleh menyertainya dalam satu kumpulan yang terhormat dengan satu jenama profesionalisme. Dan di situ kita boleh meningkat untuk membuat sesuatu representasi atau perwakilan kepada Kerajaan kita.
Dalam Akta ini harus kita mendefinisikan apa dia perhubungan awam misalnya, apakah tugas-tugas utamanya, sifat-sifat utamanya. Apakah jenis peperiksaan yang harus kita lalui dan lulus sebelum kita menjadi seorang PRO, atau pun Principle Officer for the Public. Dan kita perlu memberi sesuatu yang jelas di bawah Akta ini supaya profesion penerangan itu juga mempunyai tahap-tahap yang tinggi dari segi penyampaian, kandungan, gaya dan sebagainya.
Saudara-saudari,
Saya katakan tadi, oleh kerana masa kita terhad, saya cuma ingin menyentuh dua perkara yang berhubung dengan Sabah dan Sarawak. Oleh kerana Sarawak akan menghadapi pilihan raya tak berapa lama lagi, kita mesti ada satu profil yang khusus tentang Sarawak. Dan isu-isu yang dimaklumkan kepada saya sama ada oleh Tuan Haji Ibrahim atau oleh JASA itu memanglah saya lihat tiap-tiap minggu. Tinggal lagi sekarang, isu kalimah ALLAH misalnya, sedang dimainkan juga di Sarawak. Dan penerangan yang saya dengar daripada pihak-pihak di sana tidaklah begitu mantap. Oleh itu, harus kita mempunyai tenaga tambahan. Hal ini hendaklah kita gandingkan dengan JASA sebab JASA pun ada memberi makluman kepada saya, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kalimah ALLAH ini sebenarnya dirizabkan oleh pembangkang untuk mengenakan Kerajaan kita semasa nak berpilihan raya. Jadi sebelum itu, pada hemat saya elok kita garap segala tenaga kita dan huraikan sebenarnya apa yang dimusykilkan ini sesungguhnya tidak perlu timbul lagi.
Kenapa tak perlu timbul? Pertama ialah, kalimah itu seperti yang telah disebutkan oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong, perlu mendapat ihsan Raja-Raja Melayu, sebagai Ketua Agama. Jadi sebelum Raja-Raja Melayu bersetuju, tak harus mana pun orang mencadangkan kalimah itu di masuk dalam periodicalnya ataupun penerbitannya. Itu saja kita gunakan sudah cukup. Tetapi approach atau pendekatan itu belum kita gunakan lagi. Jadi kita hendaklah menghuraikan ini semula, dengan menggunakan juga, malah 3 orang pemimpin Kristian yang terutama di Sabah sendiri, sekarang dah mengaku, tak payahlah guna nama itu.
Jadi kalau ini menjadi masalah di Kuching dan di Sarawak, yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri dulu DSAI, Dato’ Seri Anwar, menggunakan dengan begitu hebat, saya yakin kita boleh bunuh ungkapan ini dengan cepat. Sebabnya kini kita berganding, ada JASA, ada Penerangan. Di mana, siapa nak pergi ke garisan depan. Saudara ke atau JASA? Saya beri peluang itu. Pada hemat saya, dua-dua kena masuk. Tak boleh seorang. Jadi kalau anak buah Dato’ Fuad pergi ke kiri, kita pergi ke kanan, dan tengah-tengah kita bertemu. Kita sama-sama beri penerangan, sebab kita orang penerangan. Yang JASA tadi dia ada serbuk politik sikit. Jadi mereka boleh menggunakan riak politiknya sedikit atau pun gara-gara politiknya sedikit. Tetapi kita tetap ilmiah, tetap tepat, tetap jitu dan kita meyakinkan rakyat. Jadi susunan itu nanti kita halusi dan diharap juga tidak menjadi soal atau keberatan bagi kita.
Sekarang saya pergi kepada jalinan kita dengan RTM, sedikit sahaja. Sekiranya kita mempunyai beberapa program negeri yang besar, tolong libatkan wakil rakyat. Wakil rakyat kita jangan lupa. Dan sekiranya itu ada kepentingan ramai, saya pohon RTM membuat liputan kita untuk program, bukan berita sangat. Untuk peristiwa-peristiwa atau rencana pendek atau serlahan wilayah atau pun berita negeri, apa sahaja. Jadi saya akan berunding dengan RTM, bagaimana kita slotkan cerita-cerita ini. Mungkin, sedikit kita boleh slot masukkan dalam berita tetapi dengan olahan yang menarik.
Kalau ada gotong-royong misalnya, gotong-royong dodol dah dibuat orang, gotong-royong menangkap ikan semilang pun ada dibuat orang dulu, tapi kita boleh hidupkan kembali secara yang mesra. Dan kalau ada sisipan masyarakat majmuk antara Cina dan Melayu, dengan India, itu lagi tinggi nilainya dalam konteks gagasan Malaysia sekarang. Jadi dengan RTM harus kita sekarang lihat Jabatan Penerangan membuat profil Parlimen. Kawasan Parlimen yang ada sekarang 222, kalau ditolaklah Sabah dan Sarawak pada masa ini, kita wujudkan di Semenanjung apa yang aneh di kawasan-kawasan Parlimen ini, kita boleh lapor untuk dijadikan bahan siaran di TV. Dan sekiranya ini dapat kita eksperimen menerusi Jabatan Penerangan, nasnya, isinya itu yang kita nak tarik keluar.
Satu perkara yang disebut di sini ialah misalnya, di samping cabaran ini, isu perpaduan yang disebutkan kepada kita tadi. Jadi isu perpaduan ini kita mesti jalankan ikhtiar kita agar pencapaian pemahaman kita tentang kebaikan kita berjuang menerusi jabatan ini dapat dirasai oleh orang.
Jadi saudara-saudari, secara am, begitulah dulu. Dan kita akan cari kemungkinan yang lain untuk menembusi beberapa masalah yang tak dapat kita atasi. Saya harap saudara-saudari bersabar dan kita terus memainkan peranan untuk meningkatkan lagi pencapaian dan prestasi kita. Saya juga akan melihat dari dekat, apa yang boleh dibantu oleh Jabatan Penyiaran kita. TKSU kita Dato’ Azmi, dia menyandang dua tanggungjawab berat, satu penerangan, satu penyiaran. Jadi apa yang saya nak lihat sekarang, ialah diadunkan khidmat ini dengan kebolehan RTM sebagai penyiar tapi secara yang menarik, misalnya.
Kalau cadangan-cadangan saudara-saudari ada, kemukakan kepada kami, supaya kita lihat dari dekat apa yang boleh kita jadikan program di televisyen. Saya faham iaitu, generasi sekarang, kebanyakannya generasi di bawah umur 45 tahun. Jadi cita rasa mereka tak macam kita yang lebih 50-an, yang lebih 60-an dan sebagainya. Ini kenyataan. Tetapi bagi kita menoleh ke belakang mesti dibuat. Kita dah mempunyai anak buah, anak kita, rakan kita, yang umur mereka itu antara 20-an sampai ke 40-an. Apakah cita rasa yang harus kita selitkan di dalam? Ini boleh kita cadang dan bagaimana kita mencanangnya.
Satu perkara yang saya dah temui baru-baru ini. Orang dah malas nak dengar, tengok ucapan secara langsung di televisyen. Orang tak dengar lagi. Siapa yang berani kata pada pihak-pihak tertentu, jangan kita buat ini. Bila disebut mereka marah, nak buat juga. Jadi ini makan masa. Biar saya tackle yang itu. Yang boleh kita buat ialah, mengambil ucapan-ucapan pendek-pendek, kita masukkan dalam pelbagai sajian.
Cuba saudara-saudari fikir, ada satu majlis rumah terbuka, semua berucap, termasuklah saya ini, saya ini sebagai tuan rumah berucap. RTM pun siarlah sebab Menteri Penerangan dia. Sebenarnya tak semua orang suka kita berucap secara langsung. Jabatan Penerangan pun tak pernah pun sebut, tak wajar buat ucapan secara langsung. Sebab apa, segan. Sekarang saya nak kata, cakap begini saya dengar daripada anak saya. Umur dia 20-an. Dia kata “Papa, apalah ni, banyak, berapa banyak ucapan”. Saya pun terasa, betul jugalah. Jadi, ada ucapan menarik, tapi kita ambillah ucapan itu seling-seling kita masukkan ke dalam.
Jadi ambil pita tu, barangkali saudara-saudari boleh pakai, sebelum PM nak bercakap, sebelum TPM nak bercakap, kita mainkan dulu, ucapan-ucapan ni , seperti yang telah diedit atau pun disunting oleh pihak-pihak kita di studio. Cara macam tu pun kita kena buat.
Dan selepas itu oleh sebab penembusan yang paling berkesan pada hemat saya adalah menerusi televisyen dan radio. Kita mesti cari jalan supaya isian kepada program-program tertentu, kita gubah balik. Sekarang misalnya Forum Perdana. Kita membuat kajian Forum Perdana sudah mulai menurun. Tapi tak ada orang yang nak menyatakan hal ini. Sudah menurun. Kita harus cari jalan di mana, dalam forum yang RTM dan kita buat. Saudara-saudari, saya nak minta buat Forum Perdana kita, dengan nama yang berubah. RTM yang buat. Tak payah JAKIM lagi. Apa kata? Jadi saudara yang tentukan topik dia, pada masa yang sama, ada orang buat lagu, dia nyanyi. Habis seorang memberi pandangan dia 5 minit, muncul seorang lagi dengan bakat baru, orang pun syok. Ini kalau forum, bercakap, bercakap, bercakap, bercakap. Habis. Tak ada langsung nilai tarikan kepada masyarakat. Ini saya dapati sebagai satu maklum balas. Saudara-saudari nak setuju ke, tidak, tak tahulah. Tapi saya dapati memang betul.
Katalah, sebelum Perdana Menteri berucap, ada satu selingan, orang main seruling ke, main apa ke. Sebelum seseorang berceramah, buat begitu, menarik orang. Habis dia karang, buat satu lagi, seling tiga minit, bukan panjang. Ini cara yang saya dengar dari Korea, sangat berkesan. Jadi orang yang main gitar, main seruling ni, orang mudalah. Cari orang muda, dua orang muda, satu tua. Dua muda, satu lama, macam tu. Kita mesti eksperimenkan program-program kita, ini termasuk yang Dato’ Lah sebut tadi iaitu Komuniti Bestari, dengan asuhan budaya kita, masyarakat merakyatkan seni dan forum kita. Jadi forum ini biar kita buat beberapa unjuran, melibatkan orang Tionghoa, melibatkan orang India.
Jadi, dengan cara begini kita mula-mula prihatinkan dulu berapa orang yang akan hadir, berapa orang yang bukan Melayu nak kita jemput, berapa orang Melayu harus hadir. Apa tajuk dia. Supaya kita nak alih kebosanan yang kita dilaporkan ini berkait dengan Forum Perdana yang ada sekarang, yang dianjurkan di bawah JAKIM dan RTM. Tetapi RTM hanya sebagai fasilitator sekarang. Sekarang kita nak RTM sebagai pengolah juga bersama Jabatan Penerangan, bersama dengan JASA, bersama dengan Karyawan, iaitu orang seni, orang budaya sekali. Dan kalau di satu-satu kawasan besar, kita perlu buat program ini melibatkan mereka yang boleh menarik perhatian orang ramai.
Saudara-saudari,
Ini adalah pandangan dari saya, sebab saya fikir juga kalau sebagai Menteri Penerangan kita tak ada idea baru, kita pun susah. Oleh kerana hal ini penting bagi kita, mungkin saudara-saudari karang, bila mesyuarat boleh cadanglah pada Ketua Pengarah, Dato’ Azmi semua, sama ada kita nak masukkan beberapa program lagi. RTM pun saya telah minta, iaitu pada tahun ini kita kena ubah beberapa program kita supaya kita lebih bersaing dengan pihak-pihak yang lain.
Kedua, kita akan cari cara bagaimana maklum balas yang dibuat oleh Nielson ini, tidak lagi kita pakai. Nielson ini syarikat, dia kata sekian, sekian, dia kata RTM dapat sekian penonton. Saya dah dapati iaitu pandangan yang begitu, dah tak tepat lagi. Ada yang disoroknya. Jadi mana pelanggan dia yang lebih misalnya, lain pula datanya. Jadi ini kita tidak boleh pakai lagi, kita harus wujudkan maklum balas kita sendiri menerusi kemampuan elektronik kita kemudian.
Saya akan sampaikan data kumpulan hasil kutipan gagasan 1Malaysia menerusi syarikat-syarikat telekom baru-baru ini. Kita telah keluarkan sekitar 15 juta SMS, dan kita dapat banyak maklum balas yang berguna kepada jabatan ini. TKSU dengan KP bolehlah ambil data ini daripada Dato’ Kamaruddin dan kita akan gunakan data ini bagi pengetahuan kabinet dan juga untuk pengetahuan kita di sini. Tetapi bolehlah saya katakan rata-rata lebih kurang 60 ke 63 peratus orang faham 1Malaysia itu. Cuma jaringannya dengan kehidupan, barangkali itu masih perlu kita perbaiki.
Jadi begitulah nampaknya ucapan saya sebagai rentas desa tadi sampailah ke akhir. Saya ucap terima kasih kepada Ketua Pengarah dan juga rakan-rakan di sini dan TKSU kita. Seorang Timbalan Menteri saya tak dapat hadir iaitu Dato’ Jo, Dato’ Joseph. Senator Heng bersama-sama. Dan kita akan cantumkan pandangan saudara-saudari dalam program-program yang lain. Yang datang dari jauh, Pengarah-Pengarah semua, terima kasih, Insya-Allah saya dengan rakan-rakan akan berjadual sampai balik ke negeri kita dan saya akan cuba melawat pejabat kita di negeri untuk bersama-sama. Dalam pada itu sekiranya muncul pilihan raya kecil, kita hadap bersama. Tapi yang saya sebut sebagai “umpan seekor, kail sebentuk” tadi, jangan lupa. Itulah yang harus kita juangkan.
Akhulukhaulihaza Wastghfirullhalazim Huliwalakum Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.







Hit : 6270












