Search 
 Font Size   Color Scheme        W3C Disability Accessibility  Language Selection
Other Language   
 

Istana Budaya

Sejarah

Sejarah pengwujudan Istana Budaya bermula pada tahun 1964 apabila Kementerian Penerangan dan Penyiaran bersama dengan Kementerian Kebudayaan dan Kebajikan Masyarakat mengemukakan cadangan untuk membina Pusat Kebudayaan Negara Malaysia. Tapak asalnya di Lembah Pantai yang terletak di antara Pusat Penyiaran Malaysia dan Universiti Malaya. Pusat Kebudayaan Negara ini dicadangkan pada akhirnya akan mewujudkan satu kompleks kebudayaan yang merangkumi komponen lain seperti Muzium Sejarah, Balai Seni Lukis Negara, Planetarium Negara, Panggung Utama, Restoran dan Pusat Membeli Belah Budaya.

Pada tahun 1971, Kongres Kebudayaan Kebangsaan membuat perancangan dan perbincangan mengenai penubuhan Panggung Negara. Hasilnya, pada tahun 1972 Kumpulan Budaya Negara (KBN) diwujudkan di bawah Cawangan Penggalakan Kesenian, Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan bergerak secara amatur. Pejabatnya berpusat di Wisma Keramat, tetapi pusat kegiatan di sebuah rumah di Jalan Ampang. Akhir 1973, kumpulan kebudayaan ini berpindah ke Kompleks Budaya Negara di Jalan Tun Ismail iaitu penempatan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekarang.

Mulai tahun 1974, Kumpulan Budaya Negara mula bergerak secara profesional di bawah Cawangan Pembangunan Kesenian, Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Namun, pada masa ini tumpuan lebih terarah kepada seni tari dan seni muzik tradisional sahaja. Kemudian, pada tahun 1982 wujud pula Orkestra Simfoni Muda (OSM). Tahun 1992, tertubuhnya pula Kumpulan Koir Kebangsaan dan seterusnya pada tahun 1993, pembinaan Panggung Eksperimen (ET) di Kompleks Budaya Negara bermula serta Orkestra Simfoni Muda dinaikkan taraf menjadi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan mula bergerak secara profesional.

Pada tahun 1994, Panggung Eksperimen dirasmikan oleh Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Kumpulan Budaya Negara menjadi Bahagian Panggung Negara di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (KKKPM). Pada tahun yang sama, Y.A.B. Perdana Menteri telah merealisasikan pembinaan Panggung Negara dengan kerja-kerja penetapan tapak tanah, pemilihan rekabentuk bangunan dan perancangan kewangan. Pembinaan ET beserta kewujudan Auditorium Tunku Abdul Rahman di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang adalah satu percubaan untuk mencari pengalaman mentadbir sebuah Panggung Negara akan datang.

Pembinaan Panggung Negara Malaysia bermula pada Julai 1995 dengan melibatkan kos berjumlah RM 210 juta yang meliputi kawasan 5.44 hektar dan keluasan lantai 21 000 meter persegi. Sejurus pembinaannya siap, pada 1 Disember 1998, pentadbiran Panggung Negara ke premis tetapnya di Jalan Tun Razak. Setahun kemudian, iaitu pada tanggal 19 Mei 1999, Panggung Negara bersama dengan logo dirasmikan oleh Y.A.B. Tun Dr. Mahathir.

Logo & Konsep

Berkonsepkan senibina Melayu iaitu Sirih Junjung, Istana Budaya (Panggung Negara, Malaysia) tersenarai bersama 10 panggung terkemuka di dunia dengan matlamat mementaskan seni persembahan tempatan dan antarabangsa meliputi semua genre teater, tari dan muzik dalam usaha untuk mencapai status dunia dalam bidang seni persembahan.

Logo Istana Budaya diadaptasikan dari gubahan sirih junjung. Sirih junjung adalah lambang pemula upacara, pembuka kata dan pemanis bahasa yang merapatkan hubungan antara pengunjung dan penyambut. Ia juga sering digunakan di dalam istiadat perkahwinan Melayu dan upacara-upacara lain. Lambang ini selaras dengan fungsi Istana Budaya yang sentiasa menggamit pengunjung dengan pelbagai hidangan seni persembahan yang terunggul dan tinggi mutunya. Seiring dengan statusnya sebagai model bagi seni persembahan di Malaysia, Istana Budaya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik di dalam setiap persembahannya.

Logo yang dipilih, iaitu tiga helai daun sirih mempunyai maksud yang tersendiri iaitu bahasa (lakonan), pergerakan (tarian) serta rentak (muzik), dan ia digabungkan di dalam daun keempat yang melambangkan seni teater. Logo ini telah dirasmikan pada 19 Mei 1999.

Objektif

Istana Budaya mempunyai 5 objektif utama iaitu:

  • Untuk meningkatkan pencapaian ekstetik dalam seni persembahan di Malaysia
  • Untuk membangunkan kegemilangan seni serta memastikan seni teater dapat mencapai tahap profesional
  • Untuk memasarkan produk teater yang berkualiti tinggi
  • Untuk membantu masyarakat menghargai nilai seni
  • Untuk membantu merangsang penglibatan para penaja dalam bidang kesenian

Sebagai sebuah organisasi kerajaan, peranan Istana Budaya yang utama ialah untuk menyediakan persembahan seni pentas yang berkualiti serta mampu untuk ditonton oleh semua golongan masyarakat Malaysia dan luar negara.

Fungsi

  • Merancang, menggerak dan menghasilkan kegiatan seni pentas yang bermutu tinggi di bidang teater, tari dan muzik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Mempertingkatkan daya cipta dan kreativiti seni pentas ke tahap profesional
  • Merancang dan melaksanakan usaha dan strategi meramaikan khalayak seni pentas di semua peringkat melalui kegiatan pemasaran
  • Menjadi sumber rujukan kreativiti dan khidmat sokongan seni

Piagam Pelanggan

Kami berjanji untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan menyeluruh di dalam melaksanakan tanggungjawab kami:-

  • Menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat dan penggemar seni tanahair untuk terlibat dengan pementasan atau persembahan secara langsung
  • Mengadakan 100 malam pementasan yang merangkumi persembahan teater, tari, orkestra dan koir
  • Memastikan kualiti persembahan adalah di tahap cemerlang bertaraf antarabangsa

Tarikh akhir kemaskini: 25-11-2008